ANAK PANDAI JALAN TANPA MERANGKAK

Kebanyakan masyarakat kita ramai yang berlumba-lumba nak anak pandai berjalan. Lepas tu boleh bangga dengan semua orang 

“Anak aku 7 bulan dah pandai jalan, tak sempat merangkak dah tak sabar nak jalan”

Lepas tu orang lain pun tanya, “Macam mana kau ajar dia jalan?”

“Cara dia senang je, umur 3 bulan dah pakai walker”. 

“Letak sahaja dalam walker nanti pandailah jalan sendiri”. 💃

 

Kalau nak cerita tentang “walker”, dah jadi isu lain jadi saya fokus pada isu merangkak dulu ya 😉

Tanggapan “semakin cepat pandai jalan, semakin bijak” inilah yang buat kebanyakan anak-anak sekarang ada masalah pembelajaran di masa akan datang. Bukan masalah pembelajaran sahaja, perkembangan motor kasar dan motor halus juga boleh terbantut. Kenapa saya kata macam ini? Sebenarnya dalam aktiviti merangkak, banyak yang bayi belajar termasuklah

 

1. Deria sentuhan (tactile)

Apabila merangkak, bayi akan peka dengan segala benda-benda kecil di lantai dan akan cuba kutip habuk, cebisan kertas ataupun rambut. Kebanyakan mak ayah akan marah kalau nampak anak mengutip, “Eh, eh jangan kutip, kotor”, tapi tak gantikan dengan benda selamat. Rumah licin bersih sampai tak ada apa untuk anak kutip. Terlalu menjaga sampai anak tak develop habis deria sentuhan. Rangsangan deria sentuhan ini boleh diganti dengan main bersama anak sambil kutip bola-bola kapas semasa merangkak. Tapi jangan terlepas pandang, 2 saat anak dah masukkan dalam mulut (Dengan pantauan). Deria sentuhan ini sangat penting untuk skil motor halus seperti memakai butang, zip, menulis, menjahit dan sebagainya.

 

2. Deria sendi ( propioception) 

Melalui merangkak, anak akan belajar mengenal anggota badan sendiri terutamanya di tapak tangan. Sebabnya bila merangkak, akan ada “deep pressure” di tangan dan jari-jari yang penting untuk aktiviti menulis nanti. Aktiviti menulis memerlukan anak memberikan tekanan yang betul di atas kertas, tak boleh terlalu menekan dan terlalu tak tekan semasa menulis. Kesan jangka panjang, selalunya tulisan anak akan tak berapa cantik, kerap lenguh dan penat semasa menulis dan tak pandai mengagak tekanan menulis pada kertas (tak nampak tulisan atau tulisan tembus di belakang). Apabila tangan mudah lenguh semasa menulis, anak akan mengalami masalah menyalin nota atau menyiapkan kerja sekolah seterusnya stress untuk belajar.

 

3. Deria penglihatan (visual)

Bayi yang baru lahir akan nampak semua samar-samar, tetapi lama kelamaan bayi akan belajar untuk fokus (visual tracking). Selepas itu, barulah bayi belajar untuk menguatkan tengkuk (head control). Ada mak ayah yang biarkan sahaja anak baring sampailah dia belajar sendiri berguling dan meniarap. Sebenarnya salah, mak ayah yang kena bantu anak untuk kuatkan otot tengkuk seawal bayi dalam pantang. Kerapkan “tummy time” Sebabnya posisi meniarap macam superman dan merangkak dengan kepala bayi mendongak ke atas sangat penting untuk aktiviti pembelajaran di masa akan datang.

Sebab itu kita boleh lihat, ada anak yang cepat penat bila duduk di atas kerusi, baru duduk sekejap dah baring di atas meja, duduk senget bersandar di kerusi dan dinding, tak dapat nak fokus pandang papan putih untuk menyalin karangan. Akhirnya lagi sekali, anak hilang minat belajar, sebab apa? Sebab otot penting di belakang badan dan leher tak develop habis disebabkan skip merangkak.

 

4. Awareness of two sides of body. 

Bila merangkak, bayi akan belajar gerakkan kaki kanan dan tangan kiri, kaki kiri dan tangan kanan untuk kehadapan. Aktiviti ini secara tak langsung akan hubungkan otak kanan dan kiri yang sangat penting dalam skip motor kasar. Bila skip berangkak, anak akan cenderung untuk duduk bentuk “W” dan seterusnya ada masalah mengenal pasti kiri dan kanan.

 

Sebenarnya ada banyak lagi komponen penting terlibat semasa merangkak, tapi yang saya kongsikan ini yang paling utama. Untuk tahun pertama bayi, semua rangsangan sensori sangat penting untuk perkembangan otak. Kalau kita tak gunakan setahun awal ini dengan baik, mungkin akan mengganggu tumbesan anak tak kiralah dari segi fizikal, akademik ataupun emosi.

Purata anak mula merangkak adalah semasa umur 7-10 bulan dan mula berjalan pada umur 13 bulan. Sekiranya mak ayah dapati dahulu anak skip merangkak dan kini mengalami masalah diatas, jangan risau cuma mak ayah perlu “topup” balik fasa merangkak dia walaupun anak dah masuk sekolah rendah. Mak ayah boleh cuba tips ini:

 

1. Selalu bawa pergi taman, galakkan anak main “monkey bar” untuk kuatkan otot tangan.

2. Buat “bumping/push up” setiap hari, mak ayah boleh juga main bersama anak dengan cara minta anak merangkak dan mak ayah pegang kaki minta ada berjalan menggunakan tangan.

3. Belikan terowong mainan (boleh didapati di Ikea) untuk galakkan anak merangkak dalam rumah, buat jadual merangkak (10 kali pagi, 10 kali tengahari, 10 kali petang, 10 kali sebelum tidur).

4. Galakkan anak menari sambil lompat bintang atau apa sahaja gerakan yang boleh menghubungkan otak kanan dan kiri.

5. Baling bola ke hadapan dengan posisi “superman”.

 

 

Ada banyak sangat cara untuk “topup” kembali fasa merangkak. Cuma nak taknak sahaja untuk buat. Selamat merangkak ya anak-anak 😍

Sekian, terima kasih, semoga bermanfaat 😊

Maryam Jamadi
Occupational Therapist