SISI NEGATIF FLASHCARD DAN TV/GADGET

Dari sudut pandang sebagai terapis carakerja, saya sangat tidak bersetuju dengan pendedahan kaedah flashcard di bawah 3 tahun.

Saya juga pernah terjumpa pusat perkembangan kanak-kanak yang menggunakan flashcard sebagai medium pembelajaran untuk bayi 2 bulan disebabkan permintaan dan kewujudan ibu bapa yang tak sabar-sabar nak anak cepat pandai.

Baru-baru ini juga ada pihak yang argue dengan pendapat saya tentang penggunaan gadget untuk bayi sebab katanya “budak-budak lebih mudah belajar menggunakan gadget dan tv sebab ada rangsangan bunyi dan cahaya dan anak mudah duduk diam dan fokus”. Maka, pihaknya menyediakan program belajar english seawal bayi 2 bulan menggunakan dvd dan setiap bayi perlu ada gadget sendiri dengan “selling point” mak ayah sekarang sibuk dan tak ada masa untuk mengajar anak. Hanya buka dvd untuk mengajar anak. 

 

Kenapa anak khusyuk bila tengok tv/gadget?

Anak bawah setahun memang wajib buat sepah-sepah, kesana kemari dan mengutip apa-apa yang dilihat. Fokus mereka sangat sekejap, mungkin dalam 1-2 minit sebab itu mereka mudah bosan dan suka tukar-tukar mainan. Bila nampak mainan, mainan yang sedang dipegang terus dicampak sebab mereka “terlupa”.

 

1. “Sensory seeking”
Mereka tercari-cari rangsangan untuk disentuh, dipegang, dikutip dam sebagainya. Jadi memang pelik kan kalau anak bawah umur 1 tahun duduk diam depan tv atau gadget? Sebab mereka dapat rangsangan deria bunyi dan visual.

2. Konsep 2D dan 3D
Pada usia seawal bayi 2 bulan, anak tak dapat bezakan lagi konsep 2D dan 3D sebab kebolehan itu belum develop lagi, mereka hanya nampak semua sama dan rata. Sebab itu bila tengok tv, nampak macam khusyuk sebab tak berkelip, tak ada reaksi muka dan bila panggil pun tak pandang.

3. “Sensori Overload”
Sebenarnya bukan khusyuk tapi dah tahap “sensory overload’, input dari visual dan bunyi berlebihan sampai mereka seolah-olah “masuk” dalam tv. Sama macam flashcards, anak nampak teruja bila lihat tulisan dan gambar di flashcard berubah-ubah. Ini berkaitan rangsangan deria visual juga. Sebab bagi saya flashcard sama macam tv cuma tak bercahaya. Rangsangan deria visual? Benda dekat luar banyak sangat nak tunjuk, tunjuk pokok, daun, tanah, bunga dan sebagainya. Kenapa nak tunjuk gambar flashcard pokok daripada tunjuk pokok betul? Setuju?

 

Pendapat saya, lebih baik mengajar benda penting dalam percakapan seharian dan barangan harian daripada dalam flashcard. Supaya anak dapat berlatih bila-bila masa berbanding hanya bila nampak tv atau flashcard.

Benda realiti banyak sangat nak belajar kenapa nak hadkan hanya di flashcard atau tv? Bila kita dah tekankan flashcard atau tv, anak akan jadi keliru dari medium mana yang dia perlu belajar. Akhirnya lebih memilih benda yang menyeronokkan (tv atau gadget) berbanding alam realiti iaitu kita. Paling menakutkan bila mak ayah bukan jadi medium pembelajaran anak, tapi tv/flashcard. Anak lagi suka meniru perbuatan dan kata-kata di tv berbanding kita. Suara dan karekter di tv lebih dipercayai oleh anak berbanding kita. Seperti dalam post saya sebelum ini tentang psikologi anak, bawah 18 bulan tahap “trust/mistrust”. Sangat menakutkan ya kalau anak dapat “trust” dari karekter tv berbanding kita.

 

Bila dah jadi macam ini, medium pembelajaran anak akan jadi terhad disitu. Mak ayah secara tak langsung telah menutup ruang imaginasi dan kreativiti anak.

 

 

A + B = C
Bila terbalik atau tukar sedikit B + A terus pening. Bila belajar satu benda, hanya terima yang itu dan tak ada skil berfikir di luar kotak.

Sebab itu banyak sangat kes dimana anak pandai dan tahu abc, 123 atau “apple”. Tapi tak pandai cakap “nak” untuk minta sesuatu atau tak pandai cakap “jatuh” bila jatuh dan garu kepala bila tunjuk “apple” betul.

Saya risau sangat dengan generasi masa akan datang dengan kehadiran gadget atau TV 24 jam ditambah pula flashcard dari usia bayi. Pembelajaran anak hanya tertumpu di dalam skrin, apa yang dibaca dan dilihat akan diterima bulat-bulat sebab dah biasa “mendengar” pembelajaran di skrin daripada bayi.

“Ajar guna flashcard senang, semua benda ada cuma tunjuk sahaja untuk mengajar anak”. Betul ke senang? Bagi saya benda realiti lebih senang. Tips dibawah ini boleh diguna pakai seawal bayi baru lahir, untuk mak ayah yang tak tahu nak borak apa dengan bayi.

 

1. Semasa duduk di dalam bilik boleh ajar dan tunjuk segala benda di dalam bilik contohnya bantal, meja, kerusi, beg, dll

2. Nak ajar nama buah dan sayur? Buka sahaja peti ais. Senang kan?

4. Binatang? Jalan-jalan, nampak apa-apa binatang terus tunjuk dan sebut.

5. Semasa melakukan apa-apa perbuatan, boleh ajar dan tunjuk perbuatan minum, makan, mandi, dll

6. Bila ada benda sama tapi berbeza kata sifat, pendek, panjang, besar, kecil, dll. Ajar perbezaan setiap benda.

7. Nampak warna apa-apa, tunjuk dan sebut warna-warna.

8. Kenal ahli keluarga, bila jumpa ahli keluarga tunjuk dan sebut setiap orang.

 

Macam kes kenal ahli keluarga, saya macam pelik bila ada juga yang guna flashcard. Gambar entah siapa-siapa, tapi ajar “Ini atuk”, “Ini abang” dan sebagainya. Anak jadi pelik yang dalam gambar ini abang, jadi yang itu siapa? Haha. 

Kes yang saya bagi ini untuk bawah 3 tahun ya, selalunya bila dah 3 tahun keatas. Anak dah develop skil mengenal pasti 2D dan 3D dan fokus dah semakin lama. Bila kita dah jadi medium pembelajaran utama barulah boleh selit-selit unsur flashcard untuk mengenal abc atau 123 ya.

 

Make sure dapatkan “trust” anak dahulu! 😘

 

Terima kasih, semoga bermanfaat.

Maryam Jamadi
Occupational Therapist/ Terapis Cara Kerja